Sembang

Free Shoutbox by shoutcamp

Jumaat, 6 Mei 2011

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi

Al-Imam Prof. Dr. Yusuf Abdullah
al-Qaradhawi Hafizohullah.
Mujadid Abad ke-15 & Imam al-Wasatiyyah


Pendahuluan

Al-Imam as-Syeikh ‘Allamah Professor Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradhawi adalah salah seorang tokoh ulama’ yang sangat menonjol di zaman ini. Penglibatan beliau meliputi bidang ilmu pengetahuan, pemikiran, dakwah, ekonomi, pendidikan dan jihad. Beliau merupakan anugerah Allah Taala untuk umat. Beliau merupakan seorang faqih semasa, aktivis gerakan Islam, da’ie, sasterawan dan pemikir Islam yang telah mencapai kemuncak ketinggian ilmu-ilmu Islam dan menjadi salah seorang Imam umat Islam di zaman ini. Sumbangan beliau sangat dirasai dalam mewarnai seluruh penjuru bumi.

Kelahiran

Nama penuh beliau ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Al-Qaradhawi merupakan nama keluarga beliau yang diambil dari sebuah daerah bernama al-Qardhah dan dinisbahkan kepada keturunannya. Di kampung ini terletaknya makam sahabat Nabi SAW yang meninggal di Mesir iaitu Abdullah bin Harith bin Juz al-Zubaidi (86H). Beliau lahir di sebuah desa kecil di Thanta, Mesir bernama Shafth Turaab pada 9 September 1926. Beliau berasal dari sebuah keluarga yang kuat beragama. Bapanya bekerja sebagai petani dan keluarga ibunya pula bekerja sebagai peniaga. Namun, bapa beliau meninggal ketika beliau berusia 2 tahun.

Pendidikan

Pada usia 10 tahun, beliau sudah khatam menghafaz al-Qur'an. Seterusnya beliau menamatkan pendidikan di Ma'had Thantha dan Ma'had Tsanawi. Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar dalam Fakulti Usuluddin dan lulus dengan cemerlang pada tahun 1953. Beliau mendapat tempat pertama daripada keseluruhan mahasiswa yang berjumlah 180 orang.

1954: Memperoleh ijazah pendidikan dan mendapat tempat pertama dari 3 kuliah yang ada di al-Azhar dengan jumlah siswa 500 orang.
1958: Memperoleh ijazah Diploma dari Ma’ahad Dirasat al-Arabiyah al-Aliyah dalam bidang Bahasa dan Sastera.
1960: Memperoleh Ijazah Master jurusan ilmu-ilmu al-Qur’an dan Sunnah di fakulti Usuluddin.

Gelaran doktor (Ph.D) beliau diperolehi pada tahun 1973 dengan tesis ‘Zakat dan Pengaruhnya Dalam Menangani Masalah Sosial Masyarakat', yang kemudian disempurnakan menjadi Fiqh Zakat. Sebuah buku yang sangat komprehensif dalam membahas persoalan zakat dengan ‘suasana semasa’. Antara sebab kelewatannya untuk mendapat Ph.D ialah kerana beliau terpaksa meninggalkan negara Mesir akibat kekejaman pemerintah yang berkuasa pada masa itu. Beliau menuju ke Qatar pada tahun 1961 dan mendirikan satu Fakulti Syariah dan Pusat Kajian Sejarah & Sunnah Nabi di Universiti Qatar. Beliau akhirnya mendapat kewarganegaraan Qatar dan menjadikan Doha sebagai tempat tinggalnya.

Guru-guru (Masyayeikh) di al-Azhar

Antara guru-guru yang banyak mempengaruhi kehidupan ilmiahnya: as-Syeikh Muhammad Abdullah Darraz, as-Syeikh Mahmud Syaltut, Dr. Abdul Halim Mahmud (Falsafah dan Tasauf), as-Syeikh Muhammad Mukhtar Badir dan as-Syeikh Muhammad Amin Abu al-Raus (Tafsir), as-Syeikh Muhammad Ahmadain dan as-Syeikh Abu Hamid al-Sazali (Ilmu Hadith), as-Syeikh Salih Ashraf al-Isawi, as-Syeikh Muhammad Yusuf dan as-Syeikh as-Syafi’e al-Zawahiri (Tauhid), Dr. Muhammad Ghalab (Falsafah) dan as-Syeikh Tayyib al-Najjar (Usul Fiqh), as-Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan as-Syeikh Muhammad al-Ghazali (di Maahad Tanta).

Tokoh-tokoh yang dikagumi

Antaranya ialah Imam al-Ghazali (al-Ihya merupakan buku pertama yang dibaca oleh beliau semasa kecil), pemikiran dan karya-karya peninggalan Imam Ibn Taimiyah dan muridnya, Imam Ibn Qaiyim Rahimahullah Taala Ajmaien.

Tokoh-tokoh yang membentuk peribadi

Imam Hassan al-Banna, as-Syeikh Ustaz al-Bahi al-Khuli, as-Syeikh Muhammad al-Ghazali, as-Syeikh Rashid Rida (al-Manar) : seorang Juru Islah abad ini yang mengemukakan idea-idea baru untuk umat Islam maju. Menyarankan islah, tajdid, ijtihad dan kembali kepada al-Quran & as-Sunnah dan manhaj salafi.

Latar Belakang Keluarga

Imam al-Qaradhawi memiliki tujuh anak, empat puteri dan tiga putera. Sebagai seorang ulama’ yang sangat terbuka, dia membebaskan anak-anaknya untuk menuntut ilmu apa saja sesuai dengan minat dan bakat serta kecenderungan masing-masing.

Puteri pertamanya (Ilham) memperolehi Dr. (Ph.D) Fizik-Nuklear, yang kedua (Siham) Dr. (Ph.D) Biologi: kedua-duanya dari Britain, yang ketiga (A’la) telah menyelesaikan (Ph.D) nya, sementara yang keempat (Asma’) juga telah menyelesaikan (Ph.D) nya di Universiti Nottingham, Britain. Anak lelaki pertama (Muhammad) mendapat (Ph.D) dalam bidang Teknik Elektro di USA, yang kedua (Abdul Rahman) lulusan (M.A) Universiti Cairo, Mesir (2000). Sedangkan yang bongsu (Usamah) telah menyelesaikan kuliahnya pada Fakulti Teknik jurusan Elektrik.

Melihatkan kepada beraneka ragam pendidikan anak-anak beliau, adalah disebabkan sikap beliau sebagai seorang ulama’ yang menolak pembahagian ilmu secara terpisah. Semua ilmu mampu Islami atau tidak Islami, bergantung kepada orang yang memandang dan memanfaatkannya. Pemisahan ilmu secara terpisah itu, menurutnya telah menghambat kemajuan umat Islam. Dari tujuh anaknya, hanya satu yang belajar di Universiti Darul Ulum Mesir dan menempuh pendidikan agama. Sedangkan yang lainnya mengambil pendidikan umum dan semuanya ditempuh di luar negeri.

Penglibatan dengan Ikhwan

Dalam perjalanan hidupnya, beliau pernah mengenyam ‘pendidikan’ penjara sejak dari mudanya. Ketika Mesir diperintah Raja Farouk, dia dipenjarakan (1949), ketika umurnya baru berusia 23 tahun, kerana penglibatannya dalam gerakan Ikhwanul Muslimin. Pada April tahun 1956, beliau ditangkap lagi saat terjadinya Revolusi Jun di Mesir. Bulan Oktober kembali beliau terperosok di penjara tentera selama dua tahun. Imam al-Qaradhawi terkenal dengan khutbah-khutbahnya yang sangat berani sehingga beliau pernah dilarang sebagai khatib di sebuah masjid di daerah Zamalik. Alasannya, khutbah-khutbah beliau dinilai mempengaruhi pandangan umum tentang ketidakadilan rejim saat itu.

Pekerjaan-pekerjaan rasmi

  • Peringkat awal Imam al-Qaradhawi bekerja sebagai khatib dan pengajar di kebanyakan masjid. Kemudian menjadi pengawas di Akademi Para Imam, Kementerian Wakaf Mesir.
  • Berpindah ke bahagian Pentadbiran Am untuk Masalah-Masalah Budaya Islam di al-Azhar dengan mengawasi bahan cetak dan pengurusan dakwah.
  • 1961- Pengetua sebuah sekolah menengah di Qatar.
  • 1973- Mendirikan Fakulti Tarbiyah dan mengetuainya. Seterusnya menjadi asas kepada penubuhan Universiti Qatar.
  • 1977- Dekan di Universiti Qatar sehingga tahun 1990 lalu menubuhkan Pusat Kajian Sunnah dan Sirah Nabi.
  • 1990/1- Ditugaskan oleh Pemerintah Qatar untuk mengetuai Majlis Ilmiah seluruh universiti dan akademi di Algeria.

Sumbangan

Terutamanya dalam bidang dakwah, ilmiah, akademik, pengurusan, ekonomi, sastera & budaya.

• Bidang ilmu pengetahuan
Imam al-Qaradhawi telah menulis lebih daripada 100 buah buku dengan keaslian dan nilai ilmiah yang tiada bandingannya meliputi bidang Fiqh dan Usul Fiqh, Ekonomi Islam, pengetahuan tentang al-Quran dan as-Sunnah, Aqidah, Dakwah dan Pendidikan, penyelesaian masalah menurut cara Islam, tokoh-tokoh Islam, bidang Akhlak dan Tasauf berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, kebangkitan Islam, penyatuan fikrah dan pemahaman Islam, kesusasteraan dan syair, kumpulan ceramah, isu-isu kezaliman (1950-an), Islam sebagai alternatif (1970-an), serta Nilai dan Akhlak dalam ekonomi Islam.

• Feqah dan Fatwa
Menjadi rujukan utama seluruh ilmuan dan umat Islam dunia hari ini. Al-Imam menjelaskan manhajnya dalam berfatwa melalui bukunya ‘Fatawa Mu’asiroh’.

• Dakwah dan Pentadbiran
Bekerja dalam pelbagai bidang, serta telah banyak aktiviti yang diterjuninya. Melibatkan diri dalam dakwah Ikhwan al-Muslimin seawal usia remajanya ketika masih di Tanta. Ketika ini beliau memanfaatkan saluran media sebagai alternatif dalam menyampaikan dakwah.

• Seminar dan Muktamar
Antaranya tentang ekonomi Islam (Universiti Malik Abdul Aziz), Dakwah (Universiti Islam Madinah), Fiqh Islam (Universiti Muhammad Sa’ud), Muktamar Islam dan Orientalis (Nadwah Ulama’ di India), Sirah Nabi dan Sunnah (beberapa Negara) an lain-lain.

• Kunjungan dan Ceramah
Menyampaikan ceramah di lebih 40 buah Universiti di seluruh dunia, Islamic Center, akademi dan organisasi. Mengunjungi dan mengadakan pertemuan dan perbincangan di seluruh benua dunia sama ada Asia, Afrika, Eropah, Amerika dan Australia.

• Ekonomi Islam
Pendokong utama terbentuknya bank-bank Islam di seluruh dunia dan melibatkan diri secara langsung.

• Kerja Kemasyarakatan
Memandu gerakan Islam dengan memberi perhatian kepada kerja-kerja amal dan membendung misionaris, usaha menyelamatkan mereka, mendirikan masjid, pelbagai akademi, institusi pendidikan, hospital dan pencetus penubuhan Lembaga Bantuan Islam Antarabangsa berpusat di Kuwait dan lain-lain.

• Bidang Gerakan dan Kebangkitan Islam
Memberi perhatian kepada generasi muda dengan mengunjungi pelbagai benua, menyampaikan ceramah, dialog, penulisan dan lain-lain.

• Pergerakan Islam dan Jihad
Sejak remaja beliau terlibat dengan dakwah, perhatian dan kepeduliannya sangat tinggi sehingga pernah berkali-kali merengkok di dalam penjara.

• Penglibatan dengan Pertubuhan Dunia
Melibatkan diri dan mengetuai lebih 22 pertubuhan antarabangsa: Pendidikan (Qatar), Pusat Kajian Peradaban (Qatar, Jordan), Fiqh Islam dan Rabitah al-Alam al-Islami (Mekkah), Sastera Islam, Ekonomi, Dana dan Perbankan Islam (Kaherah, Qatar, Kuwait, Swiss), Ahli Kehormat Pengajian Islam (Universiti Islamabad, Universiti Oxford, Perancis), Dakwah (Sudan), Media (Pakistan) Budaya Internet, Fatwa dan Penyelidikan (Eropah).

Penghargaan

  • 1990- IDB (Islamic Development Bank) - atas jasa-jasanya dalam bidang perbankan.
  • 1992- King Faisal Award - dalam bidang keIslaman.
  • 1996- Universiti Islam Antarabangsa - ilmu pengetahuan.
  • 1997- Sultan Brunei - sumbangannya dalam Feqah.
  • 1999- Sultan al-Uwais (UAE) - ilmu pengetahuan.
  • 2000- Antarabangsa Dubai.

Imam al-Qaradhawi menceritakan bahawa beliau lebih bergembira menerima hadiah wang semasa kecil yang bernilai LE 1.50 Mesir (RM 1) apabila memenangi tilawah menghafal al-Quran yang lebih memberi kesan kepada jiwanya daripada menerima wang 50 Ribu Dollar daripada Sultan Brunei atau ¼ Juta Dirham - Emiriat, kerana wang yang diterima semasa kecil itu telah merubah keperibadiannya menjadi seorang ulama’ pada saat ini.

Sekilas Pandangan-pandangan Imam Qaradhawi

  1. Pemikiran ~ Menurut al-Imam sesebuah peradaban akan berkembang maju jika mampu menyerap sisi-sisi positif dari peradaban yang lebih maju dengan tidak meninggalkan akar asas-asas Islam. Beliau beranggapan bahawa peradaban mana pun amat bergantung pada manusianya. Menurutnya Islam yang agung dihinakan oleh para penganutnya sendiri, yang tidak percaya sepenuhnya kepada ajaran Islam. Mereka inilah yang menutup koridor-koridor kebesaran ajaran Islam dengan kebodohan sendiri.
  2. Perbezaan pendapat ~ Merupakan hal yang tidak mungkin dihindari dan tidak mungkin dapat dihentikan dengan tulisan-tulisan ilmiah atau seminar-seminar. Perasaan beragama yang sangat dalam pada hati kaum Muslimin, sering menimbulkan ketegangan-ketegangan yang sangat tidak toleran. Mereka menyangka, pendapat mereka adalah agama itu sendiri yang mungkin dengan seseorang mengikutinya atau tidak mengikutinya akan mendapat pahala atau penyebab seksa. Al-Imam sangat menyayangi mereka yang tidak mampu membezakan perbezaan pendapat yang terpuji dan tercela menurut syara’.
  3. Penyakit umat ~ Pada mata beliau, umat Islam sudah lama menghidap krisis identiti diri yang sangat parah akibat ghazwul-fikr (perang pemikiran) Barat yang tidak menginginkan Islam bangkit kembali.
  4. Kebangkitan Islam ~ Beliau adalah seorang tokoh aktivis yang sering memberikan gagasan-gagasan yang meluruskan hala-tuju gerakan kebangkitan Islam pada jalan tengah (wasatiyyah) dan mencakupi hampir semua permasalahan umat. Tulisannya menyeluruh, mendalam, penuh keaslian dan bersesuaian dengan realiti semasa.

Pujian Ulama terhadapnya

Imam al-Qaradhawi begitu dicintai dan dipuji oleh seluruh ulama’. Sejak usia muda lagi, beliau telah digelar ‘al-Allamah’:

  • Imam Hasan al-Banna: “Sesungguhnya dia seorang penyair yang mengkagumkan dan berbakat.”
  • As-Syeikh Muhammad al-Ghazali: “Salah seorang Imam di zaman ini, yang mampu menggabungkan Fiqh: Aqal dan Atsar.”
  • As-Syeikh Abu Hasan an-Nadwi: “Seorang alim yang sangat dalam ilmunya dan pendidik kelas dunia.”
  • As-Syeikh Abdul Aziz bin Baz: “Tulisan-tulisannya memiliki nilai ilmiah yang tinggi dan pengaruh yang besar dalam dunia Islam.”
  • As-Syeikh Mushtafa az-Zarqa’: ”Hujjah zaman ini, dan merupakan ni’mat Allah untuk kaum muslimin.”
  • As-Syeikh Abu Fatah Abu Ghudah: ”Faqih dan mursyid kita. Dia adalah seorang ‘Allama.”
  • As-Syeikh Thaha Jabir al-Ulwani: ”Al-Qaradhawi adalah Faqih para Da’ie, dan Da’ienya para Fuqaha’.”
  • As-Syeikh Abdus Salam: ”Pemimpin yang penuh hikmah dalam merentas keaslian, tajdid dan tauhid. Dia bagaikan sebutir buah ranum yang dihasilkan dakwah Imam Hasan al-Banna.”
  • As-Syeikh Muhammad Umar Zubair: ”Faqih yang membuka kemudahan dalam fatwa dan Da’ie yang membawa khabar gembira dalam dakwah.”
  • As-Syeikh Rashid al-Ghanusyi: ”Dia adalah seorang Imam Mujaddid.”
  • As-Syeikh Adnan Zarzur: ”Dia adalah seorang mujaddid, faqih dan mujtahid di zaman ini. Menggabungkan antara ketelitian seorang Faqih, semangat seorang Da’ie, keberanian seorang Mujaddid dan kemampuan seorang Imam. Beliau telah membangunkan daulah Islamiyah dalam Fiqih dan Ijtihadnya.”

Manhaj Fiqih Imam al-Qaradhawi

  • Pengabungan antara Fiqh dan Hadis
  • Moderat (kesederhanaan)
  • Memberi kemudahan
  • Realistik dan semasa
  • Bebas dari fanatisme mazhab
  • Pemahaman nas yang Juz’ie dalam kerangka Maksud Syari’ah yang Kulli
  • Perbezaan antara yang Qat’ie dan yang Zanni
  • Gabungan antara Salafiyah dan Tajdid

Ungkapan-ungkapan al-Imam penuh makna dan keindahan

  • Kami akan katakan kepada mereka yang menuntut Islam untuk berkembang, “Mengapa kalian tidak menuntut perkembangan itu untuk berIslam.”
  • Moderasi (kesederhanaan) yang kami serukan adalah moderasi yang menggabungkan antara salafiyyah dan tajdid, keseimbangan antara prinsip Syari’ah dan perkembangan zaman, yang menolak cara pandang parsial (pemisahan) pengaburan Islam, yang mampu mengambil manfaat dari masa lalu dan hidup di masa kini serta mampu menatap masa depan.
  • Sesungguhnya kejumudan kita di tempat kita, tidak akan pernah menghentikan planet dari geraknya dan tidak pula bumi dari putarannya.
  • Islam yang kami tolak adalah Islam yang mengajak kepada fatalisme (nasib hidup ditentukan) dalam Aqidah, formaliti (kepatuhan membuta) dalam Ibadat, negatif dalam moral, parsial dalam pemikiran, tekstual dalam penafsiran, zhohiriyah dalam Fiqih dan penampilan luar dalam kehidupan.
  • Islam yang kami serukan adalah Islam masa awal, yakni Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Islam yang membuka kemudahan bukan yang memberatkan, yang memberi khabar gembira dan bukan membuat orang lari.
  • Islam kita berdiri di atas Aqidah yang ruhnya adalah Tauhid, Ibadah yang ruhnya adalah ikhlas, Akhlak yang ruhnya adalah kebaikan, Syariah yang ruhnya adalah keadilan, kesatuan yang ruhnya adalah persaudaraan. Semua itu tergambar dalam peradaban yang ruhnya adalah keseimbangan.
  • Tujuanku adalah Islam, manhajku adalah kesederhanaan, perantaraanku (sarana) adalah ilmu, dakwah dan tarbiyyah.
  • Saya inginkan dari gerakan kebangkitan Islam ini, hendaklah dia menyibukkan diri dengan substansial (intipati) daripada formaliti, dengan kerja daripada hanya banyak bicara, dengan masalah yang pokok (usul) daripada yang cabang (furu’), dengan yang fardhu daripada yang sunnah, dengan yang kuliyyat (menyeluruh) daripada yang juziyyat (hanya bahagian), dengan yang disepakati daripada yang diperdebatkan.
  • Mereka hanya inginkan Islam yang bersifat Aqidah tanpa Syariah, damai tanpa Jihad, perkahwinan tanpa talak, Ibadah tanpa Muamalah, Mushaf tanpa pedang dan agama tanpa negara.

Tokoh Mujadid

Al-Imam al-Qaradhawi merupakan pemikir Islam moden yang sangat yakin akan kebenaran cara pemikiran Islam yang moderat (al-Wasatiyyah al-Islamiah). Dalam buku-buku yang ditulis oleh beliau seringkali menyeru kepada pemikiran moderat (sederhana) dan sangat anti ekstrimisme pemikiran. Al-Imam selalu mendengungkan kelebihan Islam dalam segala acuannya.

Sebagai ulama’ yang perhatiannya terhadap al-Quran dan Sunnah Nabi SAW yang sedemikian sangat tinggi, Imam al-Qaradhawi telah berhasil dengan cerdas dan genius menangkap ‘ruh’ dan semangat ajaran dari keduanya. Beliau sangat fleksibel dalam memandang ajaran Islam. Kedalaman dan ketajamannya dalam menangkap ajaran Islam ini, sangat membantunya untuk selalu bersikap arif dan bijak. Namun di masa yang sama, sangat kuat mempertahankan pendapat-pendapatnya yang beliau gali dari al-Quran dan Hadis.

Penutup

Al-Imam al-Allamah Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradhawi telah mewaqafkan seluruh hidupnya dalam pengabdian kepada agama dan tuhannya. Dengan mengharapkan limpahan rahmat Allah SWT mudah-mudahan kita dapat mencontohi beliau dan mengambil sepenuh manfaat daripada seluruh karangannya kerana mungkin di sana bekal kebangkitan untuk kita sebagai umat Islam, pada masa hadapan.


Penulis: Ahmad Fathi al-Azhari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More