Sembang

Free Shoutbox by shoutcamp

Testing 01

Sekadar Hiasan

Testing 02

Sekadar Hiasan

Testing 03

Sekadar Hiasan

Jumaat, 6 Mei 2011

Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi

Al-Imam Prof. Dr. Yusuf Abdullah
al-Qaradhawi Hafizohullah.
Mujadid Abad ke-15 & Imam al-Wasatiyyah


Pendahuluan

Al-Imam as-Syeikh ‘Allamah Professor Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradhawi adalah salah seorang tokoh ulama’ yang sangat menonjol di zaman ini. Penglibatan beliau meliputi bidang ilmu pengetahuan, pemikiran, dakwah, ekonomi, pendidikan dan jihad. Beliau merupakan anugerah Allah Taala untuk umat. Beliau merupakan seorang faqih semasa, aktivis gerakan Islam, da’ie, sasterawan dan pemikir Islam yang telah mencapai kemuncak ketinggian ilmu-ilmu Islam dan menjadi salah seorang Imam umat Islam di zaman ini. Sumbangan beliau sangat dirasai dalam mewarnai seluruh penjuru bumi.

Kelahiran

Nama penuh beliau ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Al-Qaradhawi merupakan nama keluarga beliau yang diambil dari sebuah daerah bernama al-Qardhah dan dinisbahkan kepada keturunannya. Di kampung ini terletaknya makam sahabat Nabi SAW yang meninggal di Mesir iaitu Abdullah bin Harith bin Juz al-Zubaidi (86H). Beliau lahir di sebuah desa kecil di Thanta, Mesir bernama Shafth Turaab pada 9 September 1926. Beliau berasal dari sebuah keluarga yang kuat beragama. Bapanya bekerja sebagai petani dan keluarga ibunya pula bekerja sebagai peniaga. Namun, bapa beliau meninggal ketika beliau berusia 2 tahun.

Pendidikan

Pada usia 10 tahun, beliau sudah khatam menghafaz al-Qur'an. Seterusnya beliau menamatkan pendidikan di Ma'had Thantha dan Ma'had Tsanawi. Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar dalam Fakulti Usuluddin dan lulus dengan cemerlang pada tahun 1953. Beliau mendapat tempat pertama daripada keseluruhan mahasiswa yang berjumlah 180 orang.

1954: Memperoleh ijazah pendidikan dan mendapat tempat pertama dari 3 kuliah yang ada di al-Azhar dengan jumlah siswa 500 orang.
1958: Memperoleh ijazah Diploma dari Ma’ahad Dirasat al-Arabiyah al-Aliyah dalam bidang Bahasa dan Sastera.
1960: Memperoleh Ijazah Master jurusan ilmu-ilmu al-Qur’an dan Sunnah di fakulti Usuluddin.

Gelaran doktor (Ph.D) beliau diperolehi pada tahun 1973 dengan tesis ‘Zakat dan Pengaruhnya Dalam Menangani Masalah Sosial Masyarakat', yang kemudian disempurnakan menjadi Fiqh Zakat. Sebuah buku yang sangat komprehensif dalam membahas persoalan zakat dengan ‘suasana semasa’. Antara sebab kelewatannya untuk mendapat Ph.D ialah kerana beliau terpaksa meninggalkan negara Mesir akibat kekejaman pemerintah yang berkuasa pada masa itu. Beliau menuju ke Qatar pada tahun 1961 dan mendirikan satu Fakulti Syariah dan Pusat Kajian Sejarah & Sunnah Nabi di Universiti Qatar. Beliau akhirnya mendapat kewarganegaraan Qatar dan menjadikan Doha sebagai tempat tinggalnya.

Guru-guru (Masyayeikh) di al-Azhar

Antara guru-guru yang banyak mempengaruhi kehidupan ilmiahnya: as-Syeikh Muhammad Abdullah Darraz, as-Syeikh Mahmud Syaltut, Dr. Abdul Halim Mahmud (Falsafah dan Tasauf), as-Syeikh Muhammad Mukhtar Badir dan as-Syeikh Muhammad Amin Abu al-Raus (Tafsir), as-Syeikh Muhammad Ahmadain dan as-Syeikh Abu Hamid al-Sazali (Ilmu Hadith), as-Syeikh Salih Ashraf al-Isawi, as-Syeikh Muhammad Yusuf dan as-Syeikh as-Syafi’e al-Zawahiri (Tauhid), Dr. Muhammad Ghalab (Falsafah) dan as-Syeikh Tayyib al-Najjar (Usul Fiqh), as-Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan as-Syeikh Muhammad al-Ghazali (di Maahad Tanta).

Tokoh-tokoh yang dikagumi

Antaranya ialah Imam al-Ghazali (al-Ihya merupakan buku pertama yang dibaca oleh beliau semasa kecil), pemikiran dan karya-karya peninggalan Imam Ibn Taimiyah dan muridnya, Imam Ibn Qaiyim Rahimahullah Taala Ajmaien.

Tokoh-tokoh yang membentuk peribadi

Imam Hassan al-Banna, as-Syeikh Ustaz al-Bahi al-Khuli, as-Syeikh Muhammad al-Ghazali, as-Syeikh Rashid Rida (al-Manar) : seorang Juru Islah abad ini yang mengemukakan idea-idea baru untuk umat Islam maju. Menyarankan islah, tajdid, ijtihad dan kembali kepada al-Quran & as-Sunnah dan manhaj salafi.

Latar Belakang Keluarga

Imam al-Qaradhawi memiliki tujuh anak, empat puteri dan tiga putera. Sebagai seorang ulama’ yang sangat terbuka, dia membebaskan anak-anaknya untuk menuntut ilmu apa saja sesuai dengan minat dan bakat serta kecenderungan masing-masing.

Puteri pertamanya (Ilham) memperolehi Dr. (Ph.D) Fizik-Nuklear, yang kedua (Siham) Dr. (Ph.D) Biologi: kedua-duanya dari Britain, yang ketiga (A’la) telah menyelesaikan (Ph.D) nya, sementara yang keempat (Asma’) juga telah menyelesaikan (Ph.D) nya di Universiti Nottingham, Britain. Anak lelaki pertama (Muhammad) mendapat (Ph.D) dalam bidang Teknik Elektro di USA, yang kedua (Abdul Rahman) lulusan (M.A) Universiti Cairo, Mesir (2000). Sedangkan yang bongsu (Usamah) telah menyelesaikan kuliahnya pada Fakulti Teknik jurusan Elektrik.

Melihatkan kepada beraneka ragam pendidikan anak-anak beliau, adalah disebabkan sikap beliau sebagai seorang ulama’ yang menolak pembahagian ilmu secara terpisah. Semua ilmu mampu Islami atau tidak Islami, bergantung kepada orang yang memandang dan memanfaatkannya. Pemisahan ilmu secara terpisah itu, menurutnya telah menghambat kemajuan umat Islam. Dari tujuh anaknya, hanya satu yang belajar di Universiti Darul Ulum Mesir dan menempuh pendidikan agama. Sedangkan yang lainnya mengambil pendidikan umum dan semuanya ditempuh di luar negeri.

Penglibatan dengan Ikhwan

Dalam perjalanan hidupnya, beliau pernah mengenyam ‘pendidikan’ penjara sejak dari mudanya. Ketika Mesir diperintah Raja Farouk, dia dipenjarakan (1949), ketika umurnya baru berusia 23 tahun, kerana penglibatannya dalam gerakan Ikhwanul Muslimin. Pada April tahun 1956, beliau ditangkap lagi saat terjadinya Revolusi Jun di Mesir. Bulan Oktober kembali beliau terperosok di penjara tentera selama dua tahun. Imam al-Qaradhawi terkenal dengan khutbah-khutbahnya yang sangat berani sehingga beliau pernah dilarang sebagai khatib di sebuah masjid di daerah Zamalik. Alasannya, khutbah-khutbah beliau dinilai mempengaruhi pandangan umum tentang ketidakadilan rejim saat itu.

Pekerjaan-pekerjaan rasmi

  • Peringkat awal Imam al-Qaradhawi bekerja sebagai khatib dan pengajar di kebanyakan masjid. Kemudian menjadi pengawas di Akademi Para Imam, Kementerian Wakaf Mesir.
  • Berpindah ke bahagian Pentadbiran Am untuk Masalah-Masalah Budaya Islam di al-Azhar dengan mengawasi bahan cetak dan pengurusan dakwah.
  • 1961- Pengetua sebuah sekolah menengah di Qatar.
  • 1973- Mendirikan Fakulti Tarbiyah dan mengetuainya. Seterusnya menjadi asas kepada penubuhan Universiti Qatar.
  • 1977- Dekan di Universiti Qatar sehingga tahun 1990 lalu menubuhkan Pusat Kajian Sunnah dan Sirah Nabi.
  • 1990/1- Ditugaskan oleh Pemerintah Qatar untuk mengetuai Majlis Ilmiah seluruh universiti dan akademi di Algeria.

Sumbangan

Terutamanya dalam bidang dakwah, ilmiah, akademik, pengurusan, ekonomi, sastera & budaya.

• Bidang ilmu pengetahuan
Imam al-Qaradhawi telah menulis lebih daripada 100 buah buku dengan keaslian dan nilai ilmiah yang tiada bandingannya meliputi bidang Fiqh dan Usul Fiqh, Ekonomi Islam, pengetahuan tentang al-Quran dan as-Sunnah, Aqidah, Dakwah dan Pendidikan, penyelesaian masalah menurut cara Islam, tokoh-tokoh Islam, bidang Akhlak dan Tasauf berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, kebangkitan Islam, penyatuan fikrah dan pemahaman Islam, kesusasteraan dan syair, kumpulan ceramah, isu-isu kezaliman (1950-an), Islam sebagai alternatif (1970-an), serta Nilai dan Akhlak dalam ekonomi Islam.

• Feqah dan Fatwa
Menjadi rujukan utama seluruh ilmuan dan umat Islam dunia hari ini. Al-Imam menjelaskan manhajnya dalam berfatwa melalui bukunya ‘Fatawa Mu’asiroh’.

• Dakwah dan Pentadbiran
Bekerja dalam pelbagai bidang, serta telah banyak aktiviti yang diterjuninya. Melibatkan diri dalam dakwah Ikhwan al-Muslimin seawal usia remajanya ketika masih di Tanta. Ketika ini beliau memanfaatkan saluran media sebagai alternatif dalam menyampaikan dakwah.

• Seminar dan Muktamar
Antaranya tentang ekonomi Islam (Universiti Malik Abdul Aziz), Dakwah (Universiti Islam Madinah), Fiqh Islam (Universiti Muhammad Sa’ud), Muktamar Islam dan Orientalis (Nadwah Ulama’ di India), Sirah Nabi dan Sunnah (beberapa Negara) an lain-lain.

• Kunjungan dan Ceramah
Menyampaikan ceramah di lebih 40 buah Universiti di seluruh dunia, Islamic Center, akademi dan organisasi. Mengunjungi dan mengadakan pertemuan dan perbincangan di seluruh benua dunia sama ada Asia, Afrika, Eropah, Amerika dan Australia.

• Ekonomi Islam
Pendokong utama terbentuknya bank-bank Islam di seluruh dunia dan melibatkan diri secara langsung.

• Kerja Kemasyarakatan
Memandu gerakan Islam dengan memberi perhatian kepada kerja-kerja amal dan membendung misionaris, usaha menyelamatkan mereka, mendirikan masjid, pelbagai akademi, institusi pendidikan, hospital dan pencetus penubuhan Lembaga Bantuan Islam Antarabangsa berpusat di Kuwait dan lain-lain.

• Bidang Gerakan dan Kebangkitan Islam
Memberi perhatian kepada generasi muda dengan mengunjungi pelbagai benua, menyampaikan ceramah, dialog, penulisan dan lain-lain.

• Pergerakan Islam dan Jihad
Sejak remaja beliau terlibat dengan dakwah, perhatian dan kepeduliannya sangat tinggi sehingga pernah berkali-kali merengkok di dalam penjara.

• Penglibatan dengan Pertubuhan Dunia
Melibatkan diri dan mengetuai lebih 22 pertubuhan antarabangsa: Pendidikan (Qatar), Pusat Kajian Peradaban (Qatar, Jordan), Fiqh Islam dan Rabitah al-Alam al-Islami (Mekkah), Sastera Islam, Ekonomi, Dana dan Perbankan Islam (Kaherah, Qatar, Kuwait, Swiss), Ahli Kehormat Pengajian Islam (Universiti Islamabad, Universiti Oxford, Perancis), Dakwah (Sudan), Media (Pakistan) Budaya Internet, Fatwa dan Penyelidikan (Eropah).

Penghargaan

  • 1990- IDB (Islamic Development Bank) - atas jasa-jasanya dalam bidang perbankan.
  • 1992- King Faisal Award - dalam bidang keIslaman.
  • 1996- Universiti Islam Antarabangsa - ilmu pengetahuan.
  • 1997- Sultan Brunei - sumbangannya dalam Feqah.
  • 1999- Sultan al-Uwais (UAE) - ilmu pengetahuan.
  • 2000- Antarabangsa Dubai.

Imam al-Qaradhawi menceritakan bahawa beliau lebih bergembira menerima hadiah wang semasa kecil yang bernilai LE 1.50 Mesir (RM 1) apabila memenangi tilawah menghafal al-Quran yang lebih memberi kesan kepada jiwanya daripada menerima wang 50 Ribu Dollar daripada Sultan Brunei atau ¼ Juta Dirham - Emiriat, kerana wang yang diterima semasa kecil itu telah merubah keperibadiannya menjadi seorang ulama’ pada saat ini.

Sekilas Pandangan-pandangan Imam Qaradhawi

  1. Pemikiran ~ Menurut al-Imam sesebuah peradaban akan berkembang maju jika mampu menyerap sisi-sisi positif dari peradaban yang lebih maju dengan tidak meninggalkan akar asas-asas Islam. Beliau beranggapan bahawa peradaban mana pun amat bergantung pada manusianya. Menurutnya Islam yang agung dihinakan oleh para penganutnya sendiri, yang tidak percaya sepenuhnya kepada ajaran Islam. Mereka inilah yang menutup koridor-koridor kebesaran ajaran Islam dengan kebodohan sendiri.
  2. Perbezaan pendapat ~ Merupakan hal yang tidak mungkin dihindari dan tidak mungkin dapat dihentikan dengan tulisan-tulisan ilmiah atau seminar-seminar. Perasaan beragama yang sangat dalam pada hati kaum Muslimin, sering menimbulkan ketegangan-ketegangan yang sangat tidak toleran. Mereka menyangka, pendapat mereka adalah agama itu sendiri yang mungkin dengan seseorang mengikutinya atau tidak mengikutinya akan mendapat pahala atau penyebab seksa. Al-Imam sangat menyayangi mereka yang tidak mampu membezakan perbezaan pendapat yang terpuji dan tercela menurut syara’.
  3. Penyakit umat ~ Pada mata beliau, umat Islam sudah lama menghidap krisis identiti diri yang sangat parah akibat ghazwul-fikr (perang pemikiran) Barat yang tidak menginginkan Islam bangkit kembali.
  4. Kebangkitan Islam ~ Beliau adalah seorang tokoh aktivis yang sering memberikan gagasan-gagasan yang meluruskan hala-tuju gerakan kebangkitan Islam pada jalan tengah (wasatiyyah) dan mencakupi hampir semua permasalahan umat. Tulisannya menyeluruh, mendalam, penuh keaslian dan bersesuaian dengan realiti semasa.

Pujian Ulama terhadapnya

Imam al-Qaradhawi begitu dicintai dan dipuji oleh seluruh ulama’. Sejak usia muda lagi, beliau telah digelar ‘al-Allamah’:

  • Imam Hasan al-Banna: “Sesungguhnya dia seorang penyair yang mengkagumkan dan berbakat.”
  • As-Syeikh Muhammad al-Ghazali: “Salah seorang Imam di zaman ini, yang mampu menggabungkan Fiqh: Aqal dan Atsar.”
  • As-Syeikh Abu Hasan an-Nadwi: “Seorang alim yang sangat dalam ilmunya dan pendidik kelas dunia.”
  • As-Syeikh Abdul Aziz bin Baz: “Tulisan-tulisannya memiliki nilai ilmiah yang tinggi dan pengaruh yang besar dalam dunia Islam.”
  • As-Syeikh Mushtafa az-Zarqa’: ”Hujjah zaman ini, dan merupakan ni’mat Allah untuk kaum muslimin.”
  • As-Syeikh Abu Fatah Abu Ghudah: ”Faqih dan mursyid kita. Dia adalah seorang ‘Allama.”
  • As-Syeikh Thaha Jabir al-Ulwani: ”Al-Qaradhawi adalah Faqih para Da’ie, dan Da’ienya para Fuqaha’.”
  • As-Syeikh Abdus Salam: ”Pemimpin yang penuh hikmah dalam merentas keaslian, tajdid dan tauhid. Dia bagaikan sebutir buah ranum yang dihasilkan dakwah Imam Hasan al-Banna.”
  • As-Syeikh Muhammad Umar Zubair: ”Faqih yang membuka kemudahan dalam fatwa dan Da’ie yang membawa khabar gembira dalam dakwah.”
  • As-Syeikh Rashid al-Ghanusyi: ”Dia adalah seorang Imam Mujaddid.”
  • As-Syeikh Adnan Zarzur: ”Dia adalah seorang mujaddid, faqih dan mujtahid di zaman ini. Menggabungkan antara ketelitian seorang Faqih, semangat seorang Da’ie, keberanian seorang Mujaddid dan kemampuan seorang Imam. Beliau telah membangunkan daulah Islamiyah dalam Fiqih dan Ijtihadnya.”

Manhaj Fiqih Imam al-Qaradhawi

  • Pengabungan antara Fiqh dan Hadis
  • Moderat (kesederhanaan)
  • Memberi kemudahan
  • Realistik dan semasa
  • Bebas dari fanatisme mazhab
  • Pemahaman nas yang Juz’ie dalam kerangka Maksud Syari’ah yang Kulli
  • Perbezaan antara yang Qat’ie dan yang Zanni
  • Gabungan antara Salafiyah dan Tajdid

Ungkapan-ungkapan al-Imam penuh makna dan keindahan

  • Kami akan katakan kepada mereka yang menuntut Islam untuk berkembang, “Mengapa kalian tidak menuntut perkembangan itu untuk berIslam.”
  • Moderasi (kesederhanaan) yang kami serukan adalah moderasi yang menggabungkan antara salafiyyah dan tajdid, keseimbangan antara prinsip Syari’ah dan perkembangan zaman, yang menolak cara pandang parsial (pemisahan) pengaburan Islam, yang mampu mengambil manfaat dari masa lalu dan hidup di masa kini serta mampu menatap masa depan.
  • Sesungguhnya kejumudan kita di tempat kita, tidak akan pernah menghentikan planet dari geraknya dan tidak pula bumi dari putarannya.
  • Islam yang kami tolak adalah Islam yang mengajak kepada fatalisme (nasib hidup ditentukan) dalam Aqidah, formaliti (kepatuhan membuta) dalam Ibadat, negatif dalam moral, parsial dalam pemikiran, tekstual dalam penafsiran, zhohiriyah dalam Fiqih dan penampilan luar dalam kehidupan.
  • Islam yang kami serukan adalah Islam masa awal, yakni Islam yang berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Islam yang membuka kemudahan bukan yang memberatkan, yang memberi khabar gembira dan bukan membuat orang lari.
  • Islam kita berdiri di atas Aqidah yang ruhnya adalah Tauhid, Ibadah yang ruhnya adalah ikhlas, Akhlak yang ruhnya adalah kebaikan, Syariah yang ruhnya adalah keadilan, kesatuan yang ruhnya adalah persaudaraan. Semua itu tergambar dalam peradaban yang ruhnya adalah keseimbangan.
  • Tujuanku adalah Islam, manhajku adalah kesederhanaan, perantaraanku (sarana) adalah ilmu, dakwah dan tarbiyyah.
  • Saya inginkan dari gerakan kebangkitan Islam ini, hendaklah dia menyibukkan diri dengan substansial (intipati) daripada formaliti, dengan kerja daripada hanya banyak bicara, dengan masalah yang pokok (usul) daripada yang cabang (furu’), dengan yang fardhu daripada yang sunnah, dengan yang kuliyyat (menyeluruh) daripada yang juziyyat (hanya bahagian), dengan yang disepakati daripada yang diperdebatkan.
  • Mereka hanya inginkan Islam yang bersifat Aqidah tanpa Syariah, damai tanpa Jihad, perkahwinan tanpa talak, Ibadah tanpa Muamalah, Mushaf tanpa pedang dan agama tanpa negara.

Tokoh Mujadid

Al-Imam al-Qaradhawi merupakan pemikir Islam moden yang sangat yakin akan kebenaran cara pemikiran Islam yang moderat (al-Wasatiyyah al-Islamiah). Dalam buku-buku yang ditulis oleh beliau seringkali menyeru kepada pemikiran moderat (sederhana) dan sangat anti ekstrimisme pemikiran. Al-Imam selalu mendengungkan kelebihan Islam dalam segala acuannya.

Sebagai ulama’ yang perhatiannya terhadap al-Quran dan Sunnah Nabi SAW yang sedemikian sangat tinggi, Imam al-Qaradhawi telah berhasil dengan cerdas dan genius menangkap ‘ruh’ dan semangat ajaran dari keduanya. Beliau sangat fleksibel dalam memandang ajaran Islam. Kedalaman dan ketajamannya dalam menangkap ajaran Islam ini, sangat membantunya untuk selalu bersikap arif dan bijak. Namun di masa yang sama, sangat kuat mempertahankan pendapat-pendapatnya yang beliau gali dari al-Quran dan Hadis.

Penutup

Al-Imam al-Allamah Prof. Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradhawi telah mewaqafkan seluruh hidupnya dalam pengabdian kepada agama dan tuhannya. Dengan mengharapkan limpahan rahmat Allah SWT mudah-mudahan kita dapat mencontohi beliau dan mengambil sepenuh manfaat daripada seluruh karangannya kerana mungkin di sana bekal kebangkitan untuk kita sebagai umat Islam, pada masa hadapan.


Penulis: Ahmad Fathi al-Azhari

Jumaat, 30 April 2010

Munajat Seorang Hamba


Ya Allah...
Engkau mengetahui hati-hati ini...
Telah berkumpul kerana mengasihiMu...
Bertemu untuk mematuhi perintahMu...
Bersatu memikul beban dakwahMu...
Hati-hati ini telah mengikat janji setia...
Untuk mendaulat & menyokong syariatMu...

Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya…
Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini...
Akan jalanNya yang sebenar...

Penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMu...
Yang tidak kunjung malap...
Lapangkanlah hati-hati ini...
Dengan limpahan iman dan keyakinan...
Dan keindahan tawakkal kepadaMu...
Hidup suburkanlah hati-hati ini...
Dengan ma’rifat (pengetahuan sebenar) tentangMu...

Jika Engkau mentaqdirkan mati...
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini...
Sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu...
Engkaulah sebaik-baik sandaran...
Dan sebaik-baik penolong...

Ya Allah...
Engkau kekalkanlah persahabatan sehingga ke akhir hayat...
Jadikanlah persahabatan kami ini bekal kami diakhirat kelak...

Ya Allah...
Perkenankanlah permintaan ini…

...آمين... يا رب العالمين

Muhasabah Perjuangan


Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian...

Engkau ingin berjuang,
Tapi rosak oleh pujian...

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan...

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan...

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup bekorban...

Engkau ingin berjuang,
Tapi ingin jadi pemimpin...

Engkau ingin berjuang,
Menjadi pengikut agak segan...

Engkau ingin berjuang,
Tolak ansur tidak kau mengamalkan...

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup terima cabaran...

Engkau ingin berjuang,
Kesihatan dan kerehatan...
Tidak sanggup engkau korbankan...

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian...

Engkau ingin berjuang,
Tapi rosak oleh pujian...

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan...

Engkau ingin berjuang,
Masa tidak sanggup engkau luangkan...

Engkau ingin berjuang,
Kerenah isteri tidak kau tahan...

Engkau ingin berjuang,
Rumahtangga lintang-pukang...

Engkau ingin berjuang,
Diri engkau tidak engkau tingkatkan...

Engkau ingin berjuang,
Disiplin diri engkau abaikan...

Engkau ingin berjuang,
Janji kurang engkau tunaikan...

Engkau ingin berjuang,
Kasih sayang engkau cuaikan...

Engkau ingin berjuang,
Tetamu engkau abaikan...

Engkau ingin berjuang,
Anak isteri engkau lupakan...

Engkau ingin berjuang,
Ilmu berjuang engkau tinggalkan...

Engkau ingin berjuang,
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan...

Engkau ingin berjuang,
Pandangan engkau tidak diselaraskan...

Engkau ingin berjuang,
Rasa bertuhan engkau abaikan...

Engkau ingin berjuang,
Iman dan taqwa engkau lupakan...

Ya sebenarnya apa yang Engkau hendak perjuangkan...

Khamis, 29 April 2010

Benarkah Kita Berjuang?


Wahai orang yang beriman! Apa yang telah berlaku kepada kamu? Apabila kamu diseru agar turun ke medan untuk memperjuangkan agama Allah SWT, tiba-tiba kamu memberatkan papan punggung kamu ke permukaan bumi (malas). Kenapa jadi begitu? Adakah kerana kamu lebih sayang kepada kehidupan dunia berbanding kehidupan akhirat? Ketahuilah! Sesungguhnya kehidupan dunia yang kamu dambakan itu, berbanding akhirat yang telah dijanjikan oleh Allah SWT adalah sangat kecil nilainya disisi Allah SWT. Firman Allah SWT :

"Jika sekiranya kamu lengah untuk menunaikan amanah perjuangan, nescaya kamu akan diazab oleh Allah SWT dengan azab yang sangat pedih." (Surah at-Taubah : 38-39)

Seketika dalam mengharungi perjuangan ini, alangkah baiknya kita duduk sejenak untuk menganalisa atau bermuhasabah diri. Memandang jauh ke dalam jiwa dengan menyelaminya secara jujur dan telus terhadap diri sendiri. Lalu kita ajukan pada diri satu soalan, benarkah kita berjuang?

Berjuang yang dimaksudkan di sini ialah bekerja gigih dengan segala upaya dan daya malah mengambil segala ruang dan peluang untuk menjulang kalimah Allah SWT sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia, meskipun terpaksa berhadapan dengan tribulasi dan implikasi yang mengancam kepentingan diri. Atas alasan dan tujuan tersebut, kita menyertai jamaah Islam ini bagi memastikan aspirasi perjuangan suci itu dapat kita laksanakan secara lebih berkesan. Persoalannya, benarkah kita berjuang?

Benarkah kita berjuang? Kalau hanya mengisi borang dan mendaftar diri sebagai anggota jamaah Islam tetapi gagal untuk komited ( iltizam ) dengan segala aktiviti amal jama'ei yang dianjurkan oleh jamaah. Kita hanya mampu mentarbiyyah tetapi tidak boleh ditarbiyyah. Mampu mengarah tetapi tidak boleh diarah. Mampu menegur tetapi tidak boleh ditegur.

Benarkah kita berjuang? Dengan hanya semata-mata kerap menghadiri ceramah-ceramah umum tetapi liat untuk hadir dan menekuni program-program khusus seperti usrah, liqa fikri, tamrin, mukhayyam dan pelbagai aktiviti spiritual seperti qiamulail, al-Mathurat dan zikrullah. Program ceramah dilihat lebih penting sebab kita dapat publisiti sedang usrah ini hanya dihadiri oleh 10 orang, tidak glamour langsung!

Benarkah kita berjuang? Apabila kita selalu sahaja gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalaskan ke atas pundak kita sebagai pimpinan jamaah walau di mana peringkat posisi kepimpinan kita. Mesyuarat sering tidak hadir dan kalau pun hadir hanya dengan kepala kosong. Lebih malang, ada mesyuarat dalam mesyuarat dan ada mesyuarat selepas mesyuarat.

Benarkah kita berjuang? Sedang banyak masa kita habiskan untuk bersahaja dan mengelamun dalam mengimpi kemenangan. Hanya pandai mengomel dan mengkritik kesalahan anggota jamaah yang lain tetapi kita sendiri hanya mampu berdiri di tepian gelanggang. Kerja kita tidak beres tetapi nak ambil kerja orang lain. Kalut tidak bertempat.

Benarkah kita berjuang? Seringkali kita mengabaikan hak ukhuwwah atau persaudaraan Islam sesama anggota. Cepat berburuk sangka malah sedikit berbeza pendapat kita terus menyerang pemikiran dan peribadinya seolah-olah ia adalah musuh tradisi perjuangan kita. Kita rasa hanya kita sahaja yang hebat, berilmu dan berpengalaman. Pintar berhujjah dan berdebat. Kita pandang sahabat pun hanya dengan sebelah mata, penuh rasa benci. Senyum dan bersalam hanya untuk bermuka-muka.

Benarkah kita berjuang? Suka sangat kita dedahkan rahsia jamaah. Setiap bilah dan patah perkataan yang dibincang dalam mesyuarat kita tulis dalam blog atau web site. Kita jadikan ia bahan sensasi untuk melariskan web site kita jua dengan harapan orang kata kita berani menegakkan kebenaran dan berani melampirkan fakta. Hanya kita yang mahu mempertahankan Islam dan jamaahnya sedang orang lain adalah pengkhianat yang perlu ditumpaskan.

Benarkah kita berjuang? Kerana wawasan dan sesuatu gagasan pemikiran itu dilahirkan oleh pemimpin atau anggota jamaah yang kita tidak suka, maka kita tolak mentah-mentah. Lebih malang kita kasar dalam menolak dan kita lancang dalam berbicara. Langsung kita tidak hiraukan adab ikhtilaf sebaliknya apa yang kita inginkan ialah bagaimana kita nak menang dan pandangan kita yang diterima pakai.

Benarkah kita berjuang? Kita sanggup mencantas sahabat seperjuangan dengan cara yang tidak bermoral agar dia jatuh dan kita yang naik jadi pemimpin. Kita melobi habis kawasan dan negeri bagi memastikan kita atau calon pemimpin yang kita suka mencapai kemenangan. Soal mampu atau tidak, soleh atau tidak bukan lagi menjadi ukuran. Ukuran tepat ialah dia mesti dari team kita.

Benarkah kita berjuang? Wala' atau taat setia kita telah berbelah bahagi, bukan lagi kepada pimpinan jamaah tetapi di sana ada individu berpengaruh dan ia berada di luar jamaah yang sangat kita kagum karektornya. Sedang pimpinan kita sendiri dilihat kolot dan tidak hebat. Kita tidak berdiri teguh di belakang pimpinan kita sebaliknya kita teguh berdiri dan menyokong pemimpin dari luar jamaah kita sendiri.

Benarkah kita berjuang? Hubungan kita hanya terhad kepada golongan dan team kita. Dakwah kita tidak melebar kepada semua golongan termasuklah non-muslim. Kita hanya hebat dalam gelanggang kita sendiri.

Benarkah kita berjuang? Peribadi kita tidak melambangkan inspirasi perjuangan. Kita malu sipu nak jelaskan dasar perjuangan kerana keterlaluan mahu menjaga hati. Suara Islam mahu diliberalkan atas alasan orang belum memahami Islam. Penampilan diri juga dineutralkan agar tidak dianggap fundamental.

Benarkah kita berjuang? Kita banyak ketawa dan hidup dalam kemewahan. Kita tidak mampu menyelami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh para murabitun jamaah yang ikhlas berjuang. Gaya hidup hampir menyerupai musuh malah melukakan perasaan anggota jamaah sendiri.

Benarkah kita berjuang? Ibadah kita kurang. Hubungan kita dengan Allah SWT jauh. Gagal solat berjamaah dan membaca al-Quran pada kekerapan yang lebih berbanding orang awam. Kehalusan budi dan ketulusan hati tidak kita miliki. Ucapan kita menampakkan kesombongan dan tindakan kita tidak berhemah. Suka pandang rendah pada orang lain jauh sekali mahu menghormati mereka.

Benarkah kita berjuang? Kadang-kadang kita pun keliru mengenai konsep kepimpinan jamaah kita sendiri. Kita sebut kepimpinan ulama' tetapi kita tidak beradab dengan ulama'. Maki hamun ulama' dan menista mereka menjadi kalimah yang meniti di bibir kita tanpa rasa bersalah apalagi berdosa.

Benarkah kita berjuang? Kerana kita pun tidak jelas matlamat dan hala tuju perjuangan. Jamaah kita ni gerakan Islam ke? Atau parti politik semata? Slogan perjuangan pun gagal kita hayati. Matlamat kita, dustur kita, landasan kita, ikutan kita, cita-cita kita tidak mendarah daging dalam diri kita. Malang, sering kita ni cakap lain tetapi tindakan kita lain pula.

Benarkah kita berjuang? Banyak sungguh dosa kita. Makin berjuang makin tambah dosa. Dosa mengumpat, dosa mengutuk, dosa salah sangka, dosa mencantas, dosa memfitnah, dosa menipu, dosa tidak taat kepada pimpinan, dosa tidak tunai amanah perjuangan, dosa dedah rahsia jamaah, dosa khianat kepada sahabat seperjuangan, dosa hipokrit, dosa melukakan hati anggota jamaah, dosa dedahkan aib pimpinan dan anggota jamaah, dosa mata, dosa tangan, dosa kaki, dosa telinga, dosa mulut, dosa hati, dosa otak, dosa... , dosa..., dosa... dan dosa...

Ya Allah! Benarkah kita ni berjuang? Atau kita selama ini hanya bermain dan menambah beban dosa dalam perjuangan buat diri kita sendiri.

Hayya bina nu'min saah! Ayuh kita kita bersimpuh seketika untuk kita merenung (introspection) jauh ke dalam jiwa kita. Terlebih dulu kita buangkan segala alasan membela diri, sikap menyalahkan orang lain dan rasa diri di pihak benar. Sebaliknya cari alasan untuk menyalahkan diri agar kita insaf, jangan bela diri supaya dirasa diri kita juga perlu dihukum dan kumpulkan rasa bersalah itu atas diri kita sendiri agar kita tidak angkuh untuk mengakui kesilapan sendiri.

Sahabatku semua, marilah kita bermuhasabah agar kita dekat dengan Allah SWT dan kita segera diberikan nusrahNya. Insyaallah, muhasabah ini akan memulihkan hubungan kita yang retak, perjuangan kita yang tergugat dan kedudukan kita yang kian jauh dari Allah SWT. Masih banyak item untuk dipersoalkan pada diri kita dengan mulakan pertanyaan benarkah kita berjuang? Semoga kita diredhai oleh Allah SWT.

Selamat berjuang sahabatku! Jangan sesekali kite berpaling undur...

Nilai Keizzahan Persahabatan



Tiada yang lebih indah berbanding sebuah persahabatan yang diikat kukuh dengan nilai ukhuwwah Fillah pula bersulam rasa kasih dan cinta kerana Allah SWT. Persahabatan inilah menjalin tenaga dan menguatkan saf perjuangan dari ancaman pelbagai anasir yang merosakkan amal jama'ei dan thiqah berjamaah. Sendi utama persahabatan ini ialah ghayah dan hadaf yang bersatu di atas prinsip amal Islami biarpun mungkin berbeza approach dalam melaksana atau merealisasikannya.

Jamaah menjadi ceria dan anggotanya gembira apabila orientasi organisasinya berlandaskan nilai persahabatan yang menepati piawaian yang dikehendaki oleh sebuah Gerakan Islam. Sebaliknya mendung akan mengiringi sepanjang sesi atau musim andai jamaah kehilangan nilai persahabatan ini. Tentu sahaja krisis serta konflik mudah tercetus dan paling tidak 'perang dingin' sesama anggota akan wujud apabila makna sebuah persahabatan tercalar atau dibiarkan tercemar dek pelbagai virus negatif yang menular dikalangan anggota.

Justeru itulah, persahabatan menjadi modul asas bagi sebuah gerakan Islam di bumi mana pun ia beroperasi. Pelbagai mekanisma dicipta untuk melahirkan erti persahabatan yang utuh dikalangan anggota jamaah. Tamrin, mukhayyam, usrah dan liqa' fikri antara aktiviti tradisi yang diwarisi oleh jamaah sejak berzaman untuk mengekalkan tahap persahabatan yang utuh demi mewujudkan jamaah yang perkasa.

Kita juga biasa dengan istilah dengar dan taat, bai'ah, wala', ukhuwwah, thiqah, husnu zon dan sebagainya dalam pelbagai medium pengisian dalaman ke arah pemantapan komitmen ahli dengan amal jama'ei. Segala istilah itu juga merupakan tradisi soleh yang kita warisi dari generasi sebelumnya guna mengukuhkan persahabatan antara anggota jamaah dan memastikan perjuangan yang kita dokong ini terus kuat dan gagah meredah cabaran serta menyerap tekanan.


Implikasi Mudah Bagi Perjuangan Tanpa Persahabatan

Sebagaimana saya sebutkan tadi, saya juga percaya semua anggota memahami betapa jamaah yang gersang dari nilai dan erti persahabatan yang dikehendaki oleh Islam ini akan mendorong berlakunya kepincangan dalam pelbagai organ jamaah. Antaranya:

  1. Keputusan yang kedua akan dibuat atas keputusan pertama yang telah di binding oleh mesyuarat yang sah.
  2. Wujudnya sub meeting. Mesyuarat dalam mesyuarat atau mesyuarat lepas mesyuarat malah lebih malang mesyuarat 'kedua' atau mesyuarat di 'luar itu dibina atas dasar tidak puas hati dan tidak percaya kepada pimpinan dan sebahagian anggota mesyuarat yang lain.
  3. Saling curiga mencurigai antara satu sama lain dalam apa jua penampilan dan aktiviti. Lalu mewujudkan suasana suram dan resah dikalangan pendokong jamaah. Saling tidak mempercayai.
  4. Hilang wala' atau pudar ketaatan kepada pucuk pimpinan malah lebih parah apabila lahirnya kecenderungan untuk mentaati dan mempercayai pihak lain yang berada di luar jamaah.
  5. Tikam belakang! Cantas karier! Bocor rahsia dan menjatuhkan imej akan menjadi saraf yang digerakkan sesama sendiri demi survival karier politik kononnya demi jamaah.
  6. Multi jamaah dengan maksud boleh sahaja menyertai mana-mana jamaah kerana wala' tidak wajib kepada pimpinan jamaah kecuali hanyalah kepada Allah dan Rasul sahaja. Begitu juga bai'ah tidak ada untuk pimpinan jamaah sebaliknya bai'ah hanya untuk khalifah.
  7. Pergeseran yang mudah mencederakan perasaan terhasil dari persaingan yang tidak sihat sesama sendiri.
  8. Wujud team yang saling bertembung antara satu sama lain dan kemudiannya berlaku tajrih yang tidak wajar sesama anggota jamaah.
  9. Berlepas harap dan tidak memberi komitmen yang baik terhadap aktiviti yang diamanahkan malah mudah merajuk serta kecewa kerana tidak berpuas hati dalam pembahagian tanggungjawab kepada anggota. Ianya adalah kesan dari rasa cemburu antara satu sama lain.
  10. Mementingkan diri sendiri dan tidak peduli apa yang dialami oleh anggota yang lain biarpun ia satu keperluan yang mendesak. Terkadang jelas dapat dilihat sorotan matanya seperti memandang musuh kepada saudara sejamaah apa lagi ucapan terkadang berbau nista sesama sendiri. Jelasnya mudah berlaku perselisihan faham.


Bagaimana Mengukuhkan Persahabatan

Persahabatan dapat dibina dan diperkukuhkan melalui aktiviti tradisi warisan generasi terdahulu dengan kepelbagaian pendekatan sesuai di era ini. Semua anggota janganlah bersifat atau bersikap 'kalis Tarbiyyah', khasnya pimpinan biarpun setinggi mana ia menjawat jawatan dalam jamaah. Semua peringkat jamaah mesti sedia kembali ke medan tarbiyyah justeru ia suatu yang hidup dan senantiasa memerlukan persegaran merentas zaman.

Akhirnya, berilah keutamaan kepada pemantapan wala', syura, bai'ah, taat dan semua prinsip amal Jama'ei agar akhlak berjamaah dapat dipupuk.

Seminar Pemikiran Islam



Tarikh :
22 Mei 2010 ( Sabtu )

Masa :
8.00am - 11.30pm

Tempat :
Dewan Kuliah Utama,
Universiti Darul Iman,
Kampus KUSZA, Kuala Terengganu

Yuran :
RM 30 sahaja (Makanan dan Beg Seminar Disediakan)

Untuk pendaftaran, sila hubungi :
Tel : 014-507 6559, 019-985 7492
E-mail : spis_2010@yahoo.com


Penceramah :

DR JOHARI BIN MAT
( Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, Satu Penilaian )

DR ABDUL BASIT BIN ABDUL RAHMAN
( Khilaf Ulama’ Dalam Hukum Fiqh : Sebab Dan Punca )

DR BERHANUNDIN BIN ABDULLAH
( Konsep Tajdid Dalam Islam )

DR BASRI BIN IBRAHIM
( Formula Mengekalkan Perpaduan Ummah )

Dianjurkan oleh :
Alumni Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu ( AMTA )
dengan kerjasama
Menjana Diri ( MJD ) Resources

Rabu, 24 Februari 2010

Amien Rais


Prof Dr. H. Muhammad Amien Rais lahir di Surakata pada 26 April 1944. Tokoh politik ini mula dikenali di Malaysia ketika era Reformasi saat Anwar Ibrahim ditendang secara hina dari kerajaan biru. Sebagai teman lama beliau memberikan support dari belakang kepada Anwar Ibrahim.

 

Sekarang beliau menjawat sebagai Ketua Majelis Penasihat Partai Amanat Nasional Persyarikatan Muhammadiyah malah pernah memegang tampuk tertinggi pimpinan, jadinya ulah musuhnya kurang terkesan. Sama juga Anwar Ibrahim, mujur juga beliau pernah memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), maka ulah musuhnya cukup ditangani oleh pejuang kecil melalui blog, walau kecil tapi punya jiwa yang merdeka. Ada orang punya gaji besar, tubuh pun besar, mahu mengangkat kening kepada pemimpin yang zalim pun takut! Hidup ini tidak setakat membesarkan perut dan bawah perut sahaja, tapi wajib punya hati nurani luhur. (PAN). Beliau berkelulusan doktor falsafah dalam bidang politik dari Universiti Chicago, USA. Beliau sering dituduh sebagai kroni Amerika dan dianggap musuh bangsa dari sebelah pihak, sama juga seperti kenalannya, Anwar Ibrahim. Mujur juga beliau adalah orang kuat.
 

Tujuan penulis memperkenalkan beliau supaya adanya informasi di luar lingkungan, yang mana 'warga di sana' sering mewarnai warna kelam sesama warga agar tertutupnya pintu 'mata'. Apa pun perselisihan harusnya kembali kepada al-Kitab.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا (٥٩) سورة النساء 

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya

Sumber: tokohindonesia.com
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More