Nama lengkap beliau ialah Muhammad Quraish Shihab, lahir pada 16 Februari 1944 (65 tahun) di Rapang, Sulawesi Selatan (SULSEL), Indonesia. Ayahnya, Prof. KH. Abdurrahman Shihab adalah seorang ulama besar dan pernah menjawat sebagai rektor di Universiti Muslim Indonesia (UMI) dan Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Alauddin di Ujungpandang, Indonesia.
Hasil dari baka keturunan ulama dan berdarah arab pula maka tidak hairanlah Quraish Shihab kemudiannya tumbuh menjadi suatu nama besar, sebaris dikalangan para cendekiawan Islam di Indonesia, malah tidak keterlaluan dikatakan juga punya pengaruh luar biasa di alam Nusantara khususnya Malaysia. Namun sudah menjadi lumrah alam orang hebat selalunya ada pro dan kontra. Untuk mengetahuinya anda boleh semak dengan Mr. Google.
Pendidikan awalnya adalah dididik oleh ayahnya sendiri, lanjut di SMP di Makassar, kemudian nyantri ke Ponpes Darul Hadith al-Faqihiyah, Malang, Jawa Timur (JATIM). Setelah itu beliau dikirim ke Al-Azhar belajar diperingkat Thanawiyah dan kemudian ke Fakulti Usuluddin syukbah Tafsir dan Hadith sampai B.A. Kemudian meraih gelar M.A di bidang tafsir al-Quran di Universiti al-Azhar pada tahun 1969 dengan tajuk tesisnya al-I’jāz al-Tasyri’ī al-Qur'ān al-Karīm (الإعجاز التشريعي القرآن الكريم) - Kemukjizatan Al-Quran Al-Karim Dari Segi Hukum. Setelah itu beliau kembali lagi ke Kaherah, Mesir pada tahun 1982 untuk menyelesaikan tesisnya Naẓm al-Durar Li al-Biqā’i taḥqīq wa dirāsah (نظم الدرر للبقاعي: تحقيق ودراسة) - Suatu Kajian Dan Analisa Terhadap Keotentikan Kitab Nazm al-Durar Karya al-Biqā’i di peringkat S3 (Doctor of Philosophy - PhD) dalam bidang yang sama dan mendapat penghargaan tingkat pertama summa cum laude (ممتاز مع مرتبة الشرف الأولى).
Dalam kerjaya beliau pernah bertugas di IAIN Makassar kemudian ke Fakulti Usuluddin di IAIN Jakarta sekarang dikenal sebagai Universiti Islam Negeri (UIN) Syarif Hidayatullah Jakarta. Setelah itu beliau diberi kepercayaan memegang jawatan Menteri Agama selama dua bulan dari awal tahun 1998. Kemudian berpindah ke Kaherah sebagai duta besar Indonesia ke Mesir dan juga Djibouti. Antara jawatan lain yang beliau sandang ialah sebagai Ketua Majelis Ulama Indonesia (MUI), anggota lajnah Pentashih al-Quran Departmen Agama, Asisten Ketua Umum Ikatan Cendekiawan Muslim se-Indonesia (ICMI), Pengurus Perhimpunan Ilmu-Ilmu Syariah, Pengurus Konsorsium Ilmu-Ilmu Agama Departmen Pendidikan Dan Kebudayaan dan Dewan Redaksi Studia Islamika: Indonesian journal for Islamic Studies.
Sekarang beliau menghabiskan umur hidupnya dengan berbakti di Pusat Studi Al-Quran, yang menyediakan tempat pelatihan para ilmuan ulum Quran bagi melahirkan kader-kader mufassir yang professional, membumikan makna al-Quran di tengah masyarakat pluralistik serta sebagai tempat membangun kerjasama dengan lembaga-lembaga studi al-Quran di dalam dan luar negara. Selain itu aktif berdakwah di media massa seperti program KULTUM (kuliah 7 minit) di Metro TV.
Beliau juga aktif dalam bidang penulisan dan antara penulisan beliau yang menjadi fenomena ialah Membumikan al-Quran: Fungsi dan Peranan Wahyu dalam Kehidupan Masyarakat dan sebuah kitab tafsir yang begitu cemerlang sekali pengupasannya berjudul Tafsir al-Misbah. Anda boleh semak buku penulisan beliau di Lentera Hati. Hasil karya tafsirnya itu meletakkan beliau segandingan dengan nama besar dalam bidang tafsir di Indonesia seperti Prof. Mahmud Yunus dan Buya HAMKA.
Sumber:
1. M.Quraish Shihab. Membumikan Al-Quran. 2007. PT Mizan Pustaka: Bandung.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan